Latar belakang Ekonomi_Indonesia

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bertumbuh pada kadar 545% yang sangat memeranjatkan semasa dekad 1970-an, dirangsangkan oleh permintaan minyak. Walaupun demikian, kadar itu tidak dapat dikekalkan dan pertumbuhan ekonomi jatuh dengan ketara kepada kadar 20% yang mudah diurus pada dekad 1980-an dan 13% pada dekad 1990-an.

Semasa tiga puluh tahun "Orde Baru" kerajaan Presiden Suharto, ekonomi Indonesia bertumbuh dari KDNK per kapita sebanyak AS$70 sehingga melebihi AS$1,000 menjelang tahun 1996. Melalui dasar kewangan dan belanjawan yang bijak, inflasi dikawal pada julat antara 5%–10%, dengan rupiah bersifat stabil dan boleh diramalkan. Kerajaan Indonesia mengelakkan pembiayaan dalam negeri untuk kurangan belanjawan, dengan kebanyakan belanjawan pembangunan dibiayai oleh bantuan asing konsesi. Sejak kerajaan Indonesia mengumumkan dasar pelaburan asing pada tahun 1967, jumlah pelaburan asing telah mencapai US$ 9,682 juta oleh 30 buah negara.[1]

Pada pertengahan dekad 1980-an, kerajaan Indonesia memulakan proses penghapusan halangan-halangan kawal selia terhadap kegiatan ekonomi. Langkah-langkah itu ditujukan khusus kepada sektor-sektor luaran serta kewangan dan direka bentuk untuk merangsangkan penggajian dan pertumbuhan dalam sektor eksport bukan minyak. Pertumbuhan KNK tahunan sebenar mencapai hampir 7% pada puratanya antara tahun-tahun 19871997, dan kebanyakan penganalisis mengiktiraf Indonesia sebagai sebuah ekonomi perindustrian yang baru serta pasaran utama yang sedang muncul.

Tahap-tahap tinggi pertumbuhan ekonomi antara tahun-tahun 1987–1997 menyelindung sebilangan kelemahan struktur dalam ekonomi Indonesia. Sistem-sistem undang-undang sangat lemah, dan tidak adanya cara yang berkesan untuk menguatkuasakan kontrak, memungut hutang, atau mendakwa kemuflisan. Amalan-amalan perbankan tidak canggih, dengan peminjaman berasaskan sandaran merupakan norma. Pencabulan peraturan-peraturan cermat, termasuk had-had peminjaman, juga merupakan suatu perkara yang biasa. Sekatan bukan tarif, pengenaan sewa oleh syarikat-syarikat kerajaan, subsidi dalam negeri, sekatan perdagangan dalam negeri, serta sekatan eksport, kesemuanya mewujudkan herotan ekonomi.

Masalah-masalah kewangan wilayah yang melanda Indonesia pada akhir tahun 1997 dengan cepatnya menjadi sebuah krisis ekonomi dan politik. Gerak balas permulaan Indonesia adalah untuk mengapungkan rupiah, menaikkan kadar faedah dalam negeri, serta mengetatkan dasar belanjawan. Pada Oktober 1997, Indonesia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencapai persetujuan terhadap sebuah rancangan pembaharuan ekonomi yang ditujukan pada penstabilan makroekonomi serta penghapusan sebilangan dasar ekonomi yang paling menjejaskan negara, seperti Rancangan Kereta Negara dan monopoli bunga cengkih, kedua-duanya melibatkan ahli-ahli keluarga Presiden Suharto. Bagaimanapun, mata wang rupiah gagal menstabilkan diri, dan Presiden Suharto terpaksa meletakkan jawatannya pada Mei 1998. Pada Ogos 1998, Indonesia dan IMF bersetuju tentang sebuah Kemudahan Tabung Tambahan (EFF) di bawah Presiden B. J. Habibie yang termasuk sasaran-sasaran pembaharuan struktur yang penting. Abdurrahman Wahid menjadi presiden pada bulan Oktober 1999, dan Indonesia sekali lagi memeterai lagi sebuah EFF dengan IMF pada Januari 2000 yang juga merangkumi berbagai-bagai pembaharuan ekonomi dan struktur serta sasaran-sasaran penguasaan.

Kesan-kesan kewangan dan ekonomi amat teruk. Pada tahun 1998, KDNK sebenar mengecut sebanyak 13.7%. Ekonomi Indonesia jatuh ke paras yang paling rendah pada pertengahan tahun 1999, dengan pertumbuhan KDNK sebenar hanya sebanyak 0.3% pada tahun itu. Inflasi merosot sehingga 77% pada tahun 1998 tetapi pulih kepada 2% pada tahun 1999. Mata wang rupiah yang berada dalam julat Rp 2,400/AS$1 pada tahun 1997 merosot sehingga Rp 17,000/AS$1 pada kemuncak keganasan tahun 1998 dan kembali ke julat Rp 6,500–8,000/AS$1 pada akhir tahun itu. Ia telah ditukarkan pada julat Rp 6,500–9,000/AS$1 sejak masa itu, dengan turun naik yang ketara. Walaupun suatu kemarau yang teruk pada tahun 1997–1998 memaksa Indonesia mengimport banyak beras, import pada keseluruhannya jatuh dengan ketara pada peringkat-peringkat awal krisis sebagai tindak balas kepada kadar pertukaran asing yang buruk, permintaan dalam negeri yang merosot, serta ketiadaan pelaburan-pelaburan yang baru. Walaupun tidak adanya statistik pengangguran yang boleh dipercayai, penggajian sektor formal mengecut dengan ketara.

Pada akhir tahun 2005, Indonesia menghadapi sebuah 'minikrisis', akibat kenaikan harga minyak antarabangsa dan import. Mata wang merosot sehingga Rp 12,000/USD1 sebelum menjadi stabil. Kerajaan Indonesia terpaksa memotong subsidi-subsidi bahan apinya yang sangat mahal pada bulan Oktober; kosnya AS$14 bilion bagi tahun 2005. [2] Ini mengakibatkan harga bahan api pengguna naik melebihi dua kali serta inflasi dua angka. Keadaan tersebut telahpun menjadi stabil tetapi ekonomi Indonesia masih berjuang dengan inflasi sebanyak 17% pada bulan Januari 2006. Untuk meringankan hidup rakyat yang penuh dengan kesusahan, kerajaan Indonesia telah menawarkan sebuah subsidi sekali kepada para rakyat yang berlayak dan dengan itu, secara berkesan melancarkan skim faedah keselamatan sosial dibiayai kerajaan yang pertama di Indonesia. [3]

Sejak dari awal tahun 2006, harapan ekonomi Indonesia adalah lebih positif. Ekonomi Indonesia bertumbuh dengan pesat sehingga 5.1% pada tahun 2004 dan mencapai 5.6% pada tahun 2005. Pendapatan per kapita sebenar mencapai peringkat-peringkat sebelum krisis, didorong khususnya oleh penggunaan dalam negeri yang terdiri daripada kira-kira 75% KDNK Indonesia. Bursa Saham Jakarta mencapai prestasi bursa saham yang terbaik di Asia pada tahun 2004 dengan kenaikan sebanyak kira-kira 42%. Masalah-masalah yang masih melambatkan pertumbuhan ekonomi termasuk tahap pelaburan asing yang rendah, pita merah birokrasi, serta amalan rasuah yang meluas. Bagaimanapun, terdapat sikap optimistik yang amat kuat di Indonesia dengan pemilihan reformis Susilo Bambang Yudhoyono sebagai presiden dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 2004.